Wednesday, October 26, 2011

Berkongsi Dari Hati

Tentang Sebuah Penulisan

Perasaan selalu mendorong saya untuk menulis. Tulisan bukan sebarang tulisan. Saya mematlamatkan tulisan untuk bertindak sebagai muhasabah yang mampu menatijahkan saya (dan seiapa jua yang membaca) untuk kembali kepada ALLAH. Sudah lama saya mahu menulis, menanti-nanti saat untuk menulis, mencipta idea untuk menulis dan memaksa diri agar berupaya menulis.
Tetapi, masa berjam-jam di hadapan laptop hanya menghasilkan beberapa baris perkataan murahan yang dirangkum tidak lebih dari 2 perenggan. Semenjak kebelakangan ini, itulah yang terjadi. Saya benar-benar tidak dapat meneruskan penulisan. Kerana itu blog ini sekian lama dibiar sepi.  
Kalau sekadar mahu menulis, mungkin saya mampu menulis. Mereka-reka bait kata yang indah dan berirama, menghurai idea-idea yang bernas dengan hujah-hujah yang tuntas atau mencipta perumpaan-perumpamaan yang mengasyikkan lagi membuai perasaan. Tapi, itu bukan niat dan tujuan saya menulis. Jari jemari yang menari di atas keyboard ini bukan sekadar mencantumkan huruf-huruf hingga terbentuk perkataan, tetapi turut mencantumkan perasaan dan pemikiran lantas membentuk sebuah pemahaman.
Justeru, soal  menulis bukanlah sesuatu yang enteng pada pandangan saya. Ada mata yang membaca, ada minda yang mencerna, ada hati yang merasa. Biar mata membaca yang berkualiti, kerana minda akan mencerna membentuk sebuah mentaliti justeru mempengaruhi hati yang memerintah kerajaan diri.

Jadi, soal menulis atau menyiapkan bahan bacaan, bukan  sekadar peranan jemari yang menari, tetapi juga soal hati yang ingin berkongsi. Mesti berhati-hati, mesti penuh teliti, agar yang dikongsi itu mempunyai kualiti dan nilai pahala tersendiri.
Kaitan Hati Dengan Perihal 'Berkongsi'
Hati yang sihat, akan melahirkan perkongsian yang cemerlang. Perkongsian yang cemerlang, menganjur minda menjadi matang, menyuluh hati menjadi terang.  Minda yang baik berperanan, menyuburkan hati dalam keimanan.
Sedang hati yang gersang, akan melahirkan perkongsian yang songsang. Perkongsian yang songsang membuat minda menjadi cacat dan memudahkan hati menjadi jahat.  Minda yang hilang fungsi, akan merosakkan hati dan mencelakakan diri.
Kerana itu, bahan tulisan dan bacaan yang merupakan makanan minda ini harus disediakan dengan penuh berhati-hati. Menulis bukan sekadar menulis. Membaca bukan sekadar membaca. Menulis dan membaca, mencerna dan merasa.
Justeru, andai diri ingin berkongsi, biarlah perkongsian itu berpunca dari hati yang berhubung dengan Ilahi. Agar yang dikongsi itu tidak mengundang fitnah tetapi menjadi bahan dakwah yang mampu mentarbiah dan segala hasil darinya tertulis sebagai ibadah di sisi ALLAH swt.

Friday, September 23, 2011

Selesai Di Turkey


Penuntut-penuntut di Syria pasti terlebih dahulu dapat meneka isi kandungan entry kali ini usai membaca tajuknya.  Jarang sekali, kami; para penuntut di sini memilih untuk menziarahi negara-negara jiran Syria seperti Turkey, Lubnan dan Jordan melainkan untuk tujuan memperbaharui visa pelancong kami.  
Setiap 6 bulan, kami dikehendaki untuk keluar dari negara Syria untuk tujuan memperbaharui visa pelancong kami yang sah untuk tempoh 6 bulan sahaja, tidak mungkin lebih dari itu. Ini memang undang-undang kerajaan Syria ke atas warga asing yang menetap di sini tanpa visa pelajar dan menggunakan visa pelancong.
Alhamdulillah, perjalanan ke sempadan Turkey, Antakya, berjalan dengan lancar. Walaupun ada khabar menyatakan keadaan makin tidak menentu dan adegan tembak menembak banyak berlaku di kawasan yang menjadi laluan untuk kami sampai ke Antakya, Alhamdulillah, perjalanan kami mendapat perlindungan ALLAH Ta’ala dan segala urusan berjalan dengan lancar sekali.
Cumanya, penat. Perjalanannya jauh. Tapi, inshaALLAH, setiap kepenatan kami dikira dan akan diberi ganjaran pahala oleh ALLAH, andai keberadaan kami di sini diniatkan sebagai ibadah dan jihad untuk menegakkan agama di muka bumiNYA. InshaALLAH, apalah yang harus dikeluhkan seorang Muslim apabila Tuhannya adalah ALLAH? Alhamdulillah.
Semoga ALLAH terus membantu kami dan meredhai kami bermusafir di bumi Syam ini. Ya ALLAH, bantulah kami hambaMU yang begitu lemah ini. Berikan kami rahmat dan hidayatmu, agar kehidupan ini sentiasa indah dalam ibadah kepadaMU ya ALLAH. Aameen.

Friday, September 16, 2011

Lama Tak Bersua

AlhamdulILLAH, setelah sekian lama berusaha untuk kembali melayari dan menulis di www.sayyaff.blogspot.com, hari ini, dengan izin ALLAH, saya kembali dapat mengemaskini blog ini yang telah lama berhabuk dan berdebu, setelah 6 bulan dibiarkan tanpa ada sebarang pantauan gara-gara bermasalah dengan polisi internet di Syria ini.
Dengan bantuan ultrasurf application, inshaALLAH selepas ini, blog ini dapat saya kemaskini seperti biasa, biiznILLAH.  Mungkin sebagai permulaan, saya menulis dan berkongsi dahulu serba sedikit tentang perkembangan Negara Syria.
Seperti mana yang diketahui, kerajaan Malaysia kini sedang berusaha untuk membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia di Syria atas beberapa sebab keselamatan. InshaALLAH, penerbangan yang pertama dijadualkan pada 19hb September dan penerbangan yang kedua dan terakhir pula ialah pada 29hb September ini.
Keadaan semasa di Syria, tidak terlalu membimbangkan. Tetapi itu keadaan semasa. Di masa akan datang, ALLAHua’lam apa yang akan terjadi. Kira-kira 35% pelajar memilih untuk kekal berada di Syria, termasuklah saya dan suami. Sekiranya keadaan benar-benar kritikal, inshaALLAH, akan ada jalan keluar yang lain untuk kami di sini. ALLAH tidak akan membiarkan kami sendirian. InshALLAH, ALLAH menjamin rezeki dan keselamatan hamba-hambaNYA yang berjuang di jalanNYA, inshaALLAH.
Kalau diikutkan hati, memang hendak pulang. Teramat. Tapi banyak perkara yang menghalang, khususnya dari sudut ekonomi. Maka, haruslah bertahan di sini dan mengurus hidup penuh berhati-hati. InshaALLAH. Semoga ALLAH sentiasa melindungi dan memelihara kami. Ada rezeki dan keizinan dari ALLAH Ta’ala, akan kami sampai jua di Malaysia tercinta berjumpa keluarga dan sanak saudara. InshaALLAH.
Semoga tepat masanya tiba. Aameen.

Wednesday, February 23, 2011

Lelah Mujahadah

Biar sengaja diabai
Teruskan.
Tiada lagi damai
Rasakan.

Sampai bila?
Sempadannya tua.
Begitu kata mereka
Bukan kita, kata hamba.

Jangan terus menyalah
Tapi muhasabah.
Jangan mudah goyah
Tetap bertabah.


Usah cepat melatah.  
Itu bukan pendakwah. 
Usah pantas menyerah. 
Itu tandanya lemah. 

Sudahlah.
Tiada siapa kata mudah.
Bahkan payah.
Hanya kerana indah sebuah jannah.

Saturday, January 1, 2011

Indah Kehidupan - Bhg. 2

Saya sendiri tidak pernah mempersoalkan diri tentang perkara ini, walaupun yang indah dan gundah, yang suka dan duka itu telah banyak berselang-seli dalam hidup sendiri. Sayang seribu kali sayang. Ujian kehidupan dalam rencah indah dan gundah itu dilalui dengan penuh kebetulan, bukan perancangan.

Akhirnya, yang indah sahaja dinikmati, yang gundah – semuanya ditangisi. Mengapa ditangisi? Kerana menikmati keindahan, dan menangisi kegundahan itu adalah sifir semulajadi yang terbit dari naluri insani.

Siapa tak gembira jadi juara perlumbaan? Siapa tak sedih gagal peperiksaan? Siapa tak bahagia bila dihargai? Siapa tak sedih bila dicaci maki? Siapa tak suka dilayan dengan baik? Siapa tak sedih kalau diherdik? Siapa tak itu… Siapa tak ini… Begitulah seterusnya.

Berasa gembira dengan kebaikan yang menjengah dan berasa dukacita dengan keburukan yang menyinggah – adalah apa yang melazimi perasaan manusia. Seolah-olah memang itulah caranya manusia merasa. Ya. Itu memang cara manusia merasa. Tapi, itu bukan satu-satunya cara manusia merasa.


Yang Indah Dalam Gundah

Kalaulah perasaan diperaturankan untuk sentiasa begitu dalam merasa, maka tidak mungkin dapat kita bertemu dengan kisah para sahabat dan pejuang Islam terdahulu yang mempunyai ketenangan hati dan optimism yang sangat tinggi, walaupun indah dan gundah yang menjengah kehidupan mereka itu berselang seli dengan begitu dahsyat sekali.

Bahkan sejarah sendiri mencatatatkan, bahawa yang gundah-gundah itu lebih dominan memonopoli susuk kehidupan mereka. Seksaan demi seksaan, kesusahan demi kesusahan, penderitaan demi penderitaan dan kesakitan demi kesakitan sentiasa berselang-seli sesama sendiri tanpa sedikit pun simpati terhadap empunya diri. 

Menarik. Segala gundah yang menyinggah kehidupan mereka tidak sesekali menukarkan mereka menjadi manusia yang pesimis, berputus asa, lemah, panasaran, negatif, putus asa, bengis dan sebagainya. Bahkan, setiap gundah yang dilalui itu hanya lebih menyerlahkan potensi dan kehebatan jiwa mereka. Cuba hayati kisah-kisah kehidupan para sahabat dan pejuang beriman yang teruji dahulu; kemudian perhatikan – dari kaca mata apakah setiap kegundahan, keperitan, kesakitan atau penderitaan itu dimengertikan.

Ada yang diuji dengan kematian tragis, kecacatan, kesakitan, kecaman, pembuangan, fitnah, kefakiran, penindasan dan beraneka lagi ujian lainnya. Mereka diuji dengan ujian yang pelbagai dan berbeza; tetapi pada akhirnya setiap ujian itu tetap dimengertikan dari kaca mata yang sama. Dari kaca mata seorang hamba - yang sangat meyakini janji-janji TUHANnya; bahawa setiap yang datang dari TUHANnya itu semuanya baik-baik sahaja.

Keyakinan bahawa ketetapan ALLAH itu adalah ketetapan terindah; melahirkan kesimpulan-kesimpulan yang positif di sebalik setiap kisah pahit dan gundah yang dilalui. Lebih hebat lagi, setiap yang gundah itu juga tidak pernah dilihat sebagai suatu yang wajar ditangisi, bahkan diyakini sebagai suatu yang bernilai tinggi untuk dipelajari dan disyukuri.

Lantas, kesimpulan yang positif ini secara tidak langsung mendorong mereka untuk melahirkan tindakan yang juga positif. Tiada lagi istilah gundah. Semuanya jadi indah; indah pada mengertikan segunung hikmah, yang menjelma di balik bayangan gundah.



Rasa Manusia vs Rasa Hamba 

Ketika saya bermuhasabah tempoh hari, saya bertanya diri sendiri. Apakah wajar untuk saya tangisi sesuatu yang sedang terjadi kini? Perasaan saya sebagai seorang manusia mengizinkan saya untuk berasa kecewa dan berduka cita. Tiada salahnya.

“Saya cuma manusia biasa. Haruslah berperasaan macam biasa. Yang gundah – ditangisi. Kalau gagal peperiksaan, diherdik di tempat kerja, diuji dengan kematian atau perceraian, difitnah, disisihkan, dihina dan sebagainya – siapa tak bersedih dan berdukacita..? Kalau tak bersedih dan berdukacita, tak normal namanya tu..”

Sebenarnya, itu cuma justifikasi untuk mengurangkan rasa bersalah kerana bersikap lemah dan negatif.  

Kemudian, saya panjangkan penelitian mengingati kembali kisah-kisah para sahabat yang ternyata jauh lebih hebat diuji. Lantas saya menemukan jawapan bahawa dalam berhadapan dengan ujian kesusahan atau kegundahan; manusia sebenarnya diajukan dengan 2 pilihan.

Pilihan samada untuk merasa sebagai seorang manusia, atau merasa sebagai seorang hamba. Manusia ataupun hamba; hakikatnya keduanya adalah makhluk yang serupa. Bezanya, seorang hamba itu meyakini bahawa dirinya adalah seorang manusia. Sedangkan, tidak semua manusia itu menyedari bahawa dirinya itu hakikatnya cumalah seorang hamba. Perbezaan dari menilai fungsi peranan dan kehidupanlah yang menyebabkan 2 kelompok tadi berbeza dari seni merasanya.

Manusia – selalu mempersoalkan emosinya yang ternafi. Wajarkah aku diperlakukan begini? Sedangkan hamba, takkan pernah mempersoalkan hak emosinya yang dikurangi, kerana sentiasa terarah untuk melihat hak TUHANnya yang berkuasa menguji sesiapa sahaja yang dikehendaki.

Manusia yang terlupa bahawa segala gundah yang terjadi itu adalah dari Ilahi, berani mempertikaikan itu dan ini sedangkan tanpa dia sedari, pertikaian itu adalah cerminan sombongnya diri di hadapan Ilahi. Adapun manusia yang sentiasa menyedari bahawa gundah yang datang itu adalah sebahagian perencanaan Ilahi untuk menguji imannya, mereka akan sentiasa merendahkan diri dan menilai segala yang terjadi itu dari kaca mata yang positif semata-mata; walau jelas hak dan emosinya itu sangat ternafi.

Apabila difitnah, tidak melatah tetapi dia bermuhasabah. Apabila dicaci, tidak membenci tetapi menyedari kelemahan diri. Apabila ditentang, tidak meradang tetapi terus belajar bertenang. Apabila ditohmah, tidak menyumpah tetapi tetap bersikap rahmah. Begitulah seterusnya. 

Akhirnya, kerana terdorong untuk merasa sebagai seorang hamba - yang sewajarnya sentiasa positif dengan ALLAH Ta’ala, gundah-gundah yang menjengah itu bukan sahaja terselamat dari tingkah yang salah, sebaliknya menjadikan dia seorang yang lebih matang dan bersedia untuk terus ditarbiah.

Dari sini, saya mula pelajari dan meyakini bahawa segala yang terjadi dalam hidup ini sebenarnya semua indah-indah belaka. Indah bukan pada nilai zahirnya, tetapi indah pada nilai tarbiahnya.


Segala apa yang terjadi, adalah dari ketentuan Ilahi. Setiap apa yang terjadi, ada hikmahnya yang tersendiri. Pada mengerti akan sebutir hikmah, di situlah letaknya indah sebuah kehidupan.



Wednesday, December 22, 2010

Indah Kehidupan - Bhg. 1

Rintikan hujan di luar sana memecah sunyi saya yang kini bersendiri. Bersendiri dalam sebuah bangunan yang dibina atas tanah seluas 5 hektar. Pelajar-pelajar dan guru-guru lain semuanya sudah pulang ke kampong halaman masing-masing.

Cuma saya yang masih di sini. Sengaja. Sengaja mengambil keputusan untuk pulang ke kampong sedikit lewat, supaya tempoh cuti ini dapat saya peruntukkan untuk mengulang hafazan al Quran di samping meladeni beberapa buah buku yang sudah lama berada dalam waiting list saya.

Buku demi buku saya ladeni. Pengajaran demi pengajaran saya cuba fahami. Pengalaman demi pengalaman saya teliti kembali.

Tanpa disedari, deraian air mata deras menuruni pipi. Menakungi kelopak mata yang dulunya sangat jarang dibasahi.

Kisah dan pengalaman hidup; baik yang manis mahupun pahit menjengah ruang minda satu persatu. Silih berganti. Untuk segala kenangan yang manis, saya syukuri. Untuk segala kenangan yang pahit, saya kesali.

Bukan dikesali kerana terpaksa melalui itu semua, tetapi dikesali kerana kenangan-kenangan yang pahit itu hakikatnya adalah natijah dari pandangan dan pengendalian diri yang buruk, yang tentunya melahirkan sikap dan keadaan yang jauh lebih teruk.

Sikap yang buruk, perasaan yang negatif dan pemikiran yang salah itulah yang menukarkan lembaran kisah-kisah pahit dalam kehidupan itu menjadi sesuatu yang layak ditangisi.

“Alangkah baiknya, andai yang pahit itu langsung tidak pernah terjadi…” pinta hati saya.

Tetapi, mengharapkan keindahan semata-mata dalam kehidupan dunia adalah sesuatu yang mustahil. Kerana kehidupan itu sendiri adalah perjalanan yang berselang seli antara yang indah dan gundah, antara yang susah dan mudah.


Ada masa, mendung mendatangi. Ada ketika, pelangi menemani. Begitulah silih berganti.

Namun, yang mencuit minda saya bukanlah soal mendung, bukan juga soal pelangi. Mendung atau pelangi, kedua-duanya adalah perkara yang semua manusia akan hadapi, tak boleh lari. Kerana itu memang intipati kehidupan; perjalanan yang berselang seli antara yang indah dan gundah, antara yang susah dan mudah.

Tapi, yang mencuit minda saya ialah tentang sifirnya. Apakah yang mendung itu semata-mata untuk ditangisi, dan yang pelangi itu semata-mata untuk dinikmati?

Wednesday, December 15, 2010

Ujian

Saya masih ingat kata-kata guru saya sewaktu mengikuti kelas Dialogue of Civilisations kira-kira setahun yang lalu. Kata beliau, ujian itu adalah sesuatu yang datang dari ALLAH Ta’ala untuk memancing respond and reaction kita sebagai hamba (bukan sebagai manusia). Perkataan yang beliau gunakan ketika itu sebagai sinonim kepada ujian ialah ‘stimuli’ yang bermaksud; rangsangan - suatu perkara yang sememangnya mengundang tindak balas.

Jadi, ujian yang dibahasakan dengan rangsangan itu, menjelaskan bahawa setiap ujian itu akan mengundang reaksi dan tindak balas dari orang yang diuji; samada dalam keadaan empunyai diri menyedarinya atau pun tidak. Seperti mana rangsangan melahirkan tindak balas, begitu juga halnya dengan ujian; turut melahirkan tindak balas.

Jawapan beliau dalam menjawab soalan tentang 'ujian yang berterusan atau kembali berulang' ialah apa yang paling kerap saya ingati sehingga hari ini. Kata beliau,  “What we have to do when ALLAH keeps on testing us with the same thing; is that we should look back on how we react or respond to that stimuli. Being tested with the same thing over and over again could be a sign that we don’t respond in certain ways that ALLAH wants us to..

Setuju; bahawa ujian yang berterusan atau kembali berulang itu adalah kerana ALLAH ingin kita melahirkan tindak balas yang tertentu (yang ditentukan ALLAH), dan bukan tindak balas yang tidak menentu. Jadi, tak perlulah berputus asa dan kecewa menggila apabila diri itu terus menerus diuji, kerana ujian yang berterusan itu memang kelihatan menyakitkan, tetapi hakikatnya; ianya adalah jelmaan peluang kedua yang ALLAH anugerahkan buat kita agar berjaya menempuh ujian yang diberikan itu; berjaya dalam erti kata memberi tindak balas sebagai seorang hamba seperti yang ALLAH mahukan.

Pendewasaan; adalah perkara paling asas yang berselindung di balik nama 'ujian'
Usah bersikap pesimis dalam berhadapan dengan ujian. Kerana ujian itu semuanya datang dari ALLAH. Dan percayalah, apa jua yang datang dari ALLAH Ta’ala semuanya baik-baik belaka. Ujian itu selalu dikaitkan dengan kesusahan dan kesakitan (walaupun tidak semua ujian itu bertemakan kesusahan) – kerana berhadapan dengan ujian itu memang susah lagi menyakitkan. Tetapi, usahlah gentar dengan kesusahan menjadi yang-teruji. Apalah yang hendak ditakutkan apabila berhadapan dengan ujian yang susah, sedangkan kita ada ALLAH; Pemudah kepada segala yang payah?

Ujian tak harus dibiar datang dan pergi begitu sahaja kerana ianya harus dihadapi dengan penuh kesedaran, bukan kebetulan dan semata-mata kepasrahan (just go with the flow).  Mengatur tindakan dan merancang kesudahan, dan bukan menghiasi keputus-asaan yang dibungkus dengan kalimat ‘redha’ dan ‘menerima takdir.’

Akhir kata, terimalah ujian itu sebagai satu pelajaran; yang perlu diteliti dengan berhati-hati. Bukan satu penyeksaan, yang perlu diakhiri dengan tangisan dan rajuk hati. Kerana ujian itu untuk diatasi, bukan ditangisi. 

Friday, December 10, 2010

Pasca Fasa Pendosa

Meneropong Yang Di Balik Dosa

Natijah fitrah yang mengiktiraf rasa hidup berTuhan, menyebabkan dosa menjadi seberat-berat beban. Kerana dosa yang membuatkan si hamba merasa sangat lemah, dia akhirnya menyerah kalah  dan kembali kepada ALLAH dengan  penuh rasa bersalah.

Jahil mengekang hawa nafsu dan tidak berhati-hati dengan tipu daya membuatkan dia terlanjur berdosa. Tetapi, tidak jahil tentang sifat Tuhannya membolehkan dia kembali membina hubungan dengan Penciptanya. Justeru, setelah menjadi pendosa – kita sebenarnya mampu mengukur sejauh mana kita sebenarnya mengenali ALLAH Ta’ala.

Untuk si hamba yang mengenali ALLAH Ta’ala, dia yakin bahawa ALLAH tidak akan menyia-nyiakan taubat si pendosa sepertinya. Dia yakin, bahawa ALLAH Dzat Yang Maha Pemurah tidak sesekali kedekut untuk memberikan dia peluang kedua, ketiga dan seterusnya walau dia ribuan kalinya tetap terlanjur berdosa.

Kerana yakin dengan rahmat, asma’ dan janji TUHANnya yang Maha Penyantun, Maha Pengampun, dia tidak terhalang untuk kembali mencari jalan pulang. Dosa itu ALLAH ciptakan agar melalui teropong seorang pendosa, kita bisa mengintai luasnya cinta dan kasih sayang Yang Maha Esa - yang sentiasa bersedia menerima taubat hambaNYA, walaupun menjadi derhaka itu dipilih kita dengan penuh rela.

Di kala menilai dosa, jangan sampai terlupa mengintai rahmatNYA. 

Malu Seorang Pendosa

Merasa malu setelah melakukan dosa adalah sindrom biasa buat jiwa-jiwa yang masih baik fungsinya. Perasaan malu dengan Tuhan akibat dosa yang dilakukan menghambat dia untuk cepat memohon keampunan. Tetapi, bukankah orang yang malu itu akan berusaha melarikan diri dan menyembunyikan wajahnya dari orang yang dia merasa malu dengan?

Ya. Tetapi itu sesama manusia. Kerana dengan manusia kita mampu bersembunyi. Tetapi dengan ALLAH Ta’ala, adalah itu mustahil sekali. Pergilah ke mana-mana benua, larilah ke ceruk mana jua – hakikat bahawa kita sentiasa terikat dengan Tuhan dan takkan mampu terselamat dari pemerhatiannya ke atas kita tetap tidak dapat diubah. Segalanya tentang kita dalam pengawasan dan kekuasaanNYA.

Dari sini, si hamba mula mengerti kalau dengan manusia itu – dia mampu lega dengan bersembunyi. Tetapi dengan ALLAH, dia hanya mampu lega dengan bertaubat dan mengakui kesalahan diri. Kerana itu, perasaan malu dengan Tuhan semakin menghambat dia untuk terus mencari keampunan. Ternyata, kembali kepada Tuhan adalah satu-satunya jalan penyelesaian.

Malu Yang Memperdaya

Tetapi, ada juga jenis manusia yang apabila berdosa, merasa diri amat celaka sehingga menjadi malu untuk menyebut tentang TUHANnya. Sayang seribu kali sayang, kerana bukan hatinya sahaja yang telah ternoda dengan dosa yang dilakukannya, bahkan perasaan malunya tadi yang sebenarnya natijah dari pengiktirafan akan hakikat kehambaan dirinya juga turut dinoda syaitan, sehingga dia akhirnya tertipu.

Kerana merasa besarnya dosa, dia menjadi hamba yang malu dan lari dari TUHAN, bukan hamba yang malu dan kembali kepada TUHAN. Dia terlupa ALLAH dalam fikirnya tentang dosa. Dia terlupa ALLAH dalam rasanya tentang celaka – sehingga difikirnya tidak layak menerima peluang kedua. Inilah manusia yang terlupa ALLAH dalam fikir dan rasanya.

Kerana manusia cepat tertipu, ALLAH telah membekalkan banyak peringatan di dalam al Quran dan hadis agar jangan sesekali kita merasa putus asa dari rahmat ALLAH. Tandanya berputus asa dari rahmat ALLAH ialah apabila dosa yang satu, melahirkan ‘rasa tidak mengapa’ untuk dosa yang kedua, ketiga dan seterusnya. Akhirnya, tenanglah dia dalam rendaman dosa, lantaran gagal mengurus pemikiran dan perasaan setelah melalui fasa menjadi seorang pendosa.

Apabila tewas dengan ujian maksiat – samada menjadi derhaka dalam rela atau tanpa sengaja –  kembalilah kepada ALLAH dalam setiap fikir dan rasa, agar tidak tersungkur buat kali kedua.

Kalau Berdosa, Carilah Cinta

Hamba yang malu dengan Tuhannya, cepat memaksa diri untuk kembali taat setelah terlanjur bermaksiat. Nafsu yang degil dididik untuk menyintai apa yang ALLAH cintai dan membenci apa yang ALLAH benci. Bukankah ini perkara biasa dalam bercinta? Kita cuba mencari dan mencipta sebanyak mungkin persamaan antara kita dan dia. Kalau dia suka, kita akan ‘paksa’ diri agar turut sama menyukai.

Mengumpan kasih sayang ALLAH tak semudah mengumpan cinta gadis pujaan Malaya. Dengan bait kata yang sederhana, mawar merah setangkai dua dan sekotak coklat dari luar negara – si gadis sudah boleh cair hatinya. Kerana cinta manusia adalah cinta yang murah, kerana itu mendapatkannya juga mudah. Berbeza halnya dengan cinta ALLAH.

Cinta ALLAH – yang hanya boleh dimiliki setelah melalui fasa paling asas; iaitu bertarung melawan hawa nafsu yang terperangkap dalam diri sendiri. Ibaratnya, menghunus parang dan menyilang pedang di dada sendiri. Mudahkah? Tangan kanan berpedang, tangan kiri berparang. Mesti tahu antara dua – yang mana kawan untuk disimpan, yang mana lawan untuk ditumpaskan. Sengit bukan? 

Sakit Untuk Selamat

Jadi, mengapa harus hairan kalau sepanjang perjalanan mendapatkan cinta Tuhan, kita menemui begitu banyak kesakitan? Kerana setiap saat dalam perjalanan itu, kita sebenarnya dalam sebuah pertempuran. Adat bertempur, ada yang menyerang dan ada yang diserang. Yang menyerang adalah kita yang dikurniakan akal fikiran untuk berfikir dan bertindak setelah mengenal-pasti antara yang baik dan yang buruk. Yang diserang pula adalah musuh kita yang nama manjanya ialah hawa nafsu dan bisikan syaitan.

Justeru, kita seharusnya jelas bahawa segala kesakitan yang dirasai sepanjang perjalanan-merangkap-pertempuran mencari kasih sayang ALLAH, adalah kesakitan yang dirasai akibat nafsu yang tercedera. Kita turut merasa lukanya kerana nafsu adalah musuh besar yang terperangkap dalam jasad kita. Jadi, tidak hairanlah apabila nafsu terluka, kita juga menanggung sakitnya tercedera.

Yakinlah bahawa kesakitan yang dirasai itu adalah natijah dari nafsu yang terluka. Berbaloi apa? Si hamba seharusnya merasa lega kerana kini musuhnya tercedera lagi lemah tak berdaya – maknanya, dia kini terselamat. Kerana nafsu yang ‘sihat’ dan kenyang cuma tahu mengheret dia ke lembah dosa. Jadi, jangan diambil peduli sakitnya diri dalam usaha mentaati dan memancing kasih sayang Ilahi.

Hakikatnya tentang mengenyang dan memenangkan hawa nafsu ialah, ia buat kita tidak menderita untuk tempoh sementara, dan berbahagia untuk tempoh seketika. Menumpaskan hawa nafsu pula, membuatkan kita menderita untuk tempoh seketika – demi merasa bahagia untuk selama-selamanya. Fikir sendiri, mana lebih baik?

Sakit untuk selamat; itulah mujahadah. 


Akhir kata, kesakitan (menumpaskan nafsu) itu bukan sahaja rahmat, tetapi sebenarnya petunjuk ke arah zon yang selamat. 

Pengumuman; Wajah Baru

Blog [Transformasi Demi Ilahi] yang baru ini adalah pengganti kepada blog [SAYYAFF – The.Peace.Searcher] yang telah saya gunakan kira-kira 3 tahun dulu, sewaktu masih lagi menuntut di Darul Quran.

Pada asalnya, niat cuma hendak menukar template blog lama tu kepada template baru yang lebih up-to-date memandangkan blogger sendiri dah banyak upgrade servisnya. Tapi, prosesnya nampak macam renyah dan menyusahkan pulak. Jadi, saya buat keputusan buat blog baru tetapi tetap mengekalkan url lama iaitu www.sayyaff.blogspot.com

Itu sahaja. Harap dengan penjelasan ni, tak adalah kawan-kawan yang kehairanan dengan wajah baru www.sayyaff.blogspot.com Anyway, terima kasih sebab sudi singgah! Semoga ALLAH merahmati kita semua, aameen.